By Norrasyidah Arshad
SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan Selangor menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat teknologi di luar negara bagi memacu lagi sektor berkenaan di negeri.
Dato’ Menteri Besar berkata perjanjian dengan Orangeleaf Consulting dan syarikat milik Siemens, Mendix membolehkan negeri menyediakan tenaga kerja berkualiti dan berpengetahuan luas.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, kerjasama menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) itu juga menandakan detik penting dalam memupuk kemajuan teknologi dan inovasi digital.
“Platform kod rendah Mendix menawarkan alat pembangunan perisian yang berkuasa dan moden, merevolusikan pembangunan aplikasi perusahaan.
“Tidak seperti kaedah pengekodan tradisional, Mendix menggunakan modul drag-and-drop visual, menjadikannya boleh diakses oleh individu tanpa latar belakang pengekodan sambil mengurangkan masa ke pasaran dengan ketara untuk penyelesaian inovatif,” katanya di Facebook.
Beliau berkata Orangeleaf Consulting yang merupakan syarikat perunding inovasi kod rendah terkemuka pula akan merapatkan jurang bakat serta meningkatkan bilangan pembangun Malaysia dilengkapi kecekapan kod rendah Mendix.
“Melalui program latihan, makmal inovasi, inisiatif bimbingan dan usaha penglibatan komuniti, Orangeleaf Consulting bertujuan memupuk ekosistem profesional mahir yang berkembang maju yang memacu inisiatif transformasi digital dalam negeri,” katanya.
Jumaat lalu, STDC turut menandatangani Memorandum Persefahamam (MoU) bersama syarikat automasi terkemuka KNX Associate (KNX) dan Seikou Systec Sdn Bhd untuk merevolusi automasi bangunan.